SEREMBAN: Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Yayasan
Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal,
diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H/2017M Negeri Sembilan sempena
sambutan Maal Hijrah di sini, hari ini.
Penyampaian hadiah
dan cenderahati disampaikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Masjid Negeri di sini.
Penganugerahan itu sekali gus menjadikan beliau sebagai wanita pertama yang menerima anugerah itu di Negeri Sembilan.
Noor
Aziah, yang juga Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan
Kanak-kanak Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
dilahirkan pada 23 Mei 1961 di Nilai dan merupakan anak ketujuh daripada
lapan beradik.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan itu meskipun apa yang dilakukannya selama ini atas faktor kerjaya.
Noor
Aziah berkata walaupun ibunya seorang yang buta huruf, ia bukanlah
penghalang buat orang tuanya untuk memberikan beliau pendidikan.
"Ayah
saya adalah seorang imam manakala ibu saya suri rumah tetapi dia adalah
seorang yang buta huruf. Meskipun begitu, ia bukanlah halangan untuk
kedua orang tua saya untuk memberikan saya pendidikan yang terbaik. Tanpa
mereka juga tidaklah saya di sini hari ini". Katanya ketika ditemui
pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan
bagi tahun 1439H/2017M).
Beliau berkata penghargaan ini
menjadi satu tanggungjawab dan perangsang untuk beliau meneruskan usaha
dalam bidang yang diceburinya.
"Saya juga ketika ini dalam
proses untuk menganjurkan Anugerah Keluarga Mithali di bawah Yadim dan
dijangka akan dibuat pada November ini," katanya.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Mufti Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan