Selasa, 17 Oktober 2017

Universiti Tempatan atau Luar Pilihan Anda?


"Tak terfikir nak sambung belajar kat luar negara ke?"

"Awak ni result tip top tapi dapat belajar kat sini je, kenapa tak sambung ke luar negara?"

Soalan-soalan seperti inilah yang orang zaman sekarang selalu bertanya kepada pelajar lepasan SPM, Matrik, Asasi, Diploma dan seangkatan dengannya. Adakah melanjutkan pengajian di Malaysia itu merupakan satu kesalahan? Semestinya tidak!

Pendidikan dalam negara kita sudah pun disediakan melalui Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ataupun Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di mana ia lebih diyakini dan sesetengah daripadanya mempunyai taraf yang lebih cemerlang berbanding di luar negara.

Sebenarnya kita bukanlah mahu menghalang pelajar untuk melanjutkan pengajian di luar negara, tetapi perkara yang perlu dititikberatkan adalah mereka perlu bijak dalam membuat pilihan. Ini kerana kadangkala terdapat universiti di luar negara tidak mampu memberikan pendidikan yang terbaik sehingga menyebabkan mereka pulang dengan hanya memiki ijazah yang tidak seiring dengan keperluan dalam negara.

Di samping itu, IPT dalam negara kita kini mampu untuk menyediakan pendidikan yang terbaik dan ada antaranya mampu mengatasi universiti di luar negara seperti dalan bidang kejuruteraan, bioteknologi, ICT, pengajian bahasa dan juga perubatan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan universiti-universiti yang telah menduduki ranking terbaik di antara universiti dunia berdasarkan QS World Universities Ranking 2016/2017.

Tambahan pula, kualiti hidup di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia kerana negara kita menawarkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti tinggi selain mempunyai rangkaian komunikasi yang boleh dipercayai serta kampus bertaraf antarabangsa.

Perkara ini amat penting bagi kita untuk sedar sudut pandang yang berbeza terhadap melanjutkan pengajian di luar negara. Kita lihat kelebihan belajar di luar negara lebih kepada personal tetapi bagaimana pula dengan keburukannya? Mungkin juga akan dinilai dari sudut polisi pendidikan kebangsaan.

Apa sebenarnya keburukan belajar di luar negara?

1. Kos tinggi


Misalnya, tajaan bagi pelajar dalam bidang kejuruteraan atau perubatan boleh mencecah RM600 000 lebih untuk seorang. Itu baru seorang. Bagaimana pula jika bilangan pelajarnya banyak?

2. Dasar pengantarabangsaan

Penghantaran pelajar ke luar negara mungkin akan sedikit demi sedikit menjejaskan aspirasi negara kita. Ketika universiti tempatan menerima pelajar asing, pelajar tempatan pula ‘lari’ ke universiti di luar negara, saya berpendapat imej dan reputasi IPT tempatan akan sedikit tercemar terhadap isu ini.

3. Talent pool

Talent pool ialah pelajar-pelajar cemerlang yang tidak memberi sumbangan untuk menaikkan reputasi universiti tempatan. Apa yang saya ingin sampaikan adalah, kualiti universiti tempatan akan jatuh merudum sekiranya semakin ramai pelajar yang dihantar ke luar negara. Dan sebaliknya universiti luar pula terus meningkat baik kerana menerima sumber pelajar yang cemerlang dan berkualiti.

Belajar di luar negara atau di negara masing-masing mempunyai kelebihan dan keburukannya sendiri. Pengalaman dan perjalanan hidup yang Allah pilih untuk kita adalah lebih bermakna dan unik. Jadi, terpulang pada kita sahaja untuk menterjemahkannya kepada jawapan masalah manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan