Ahad, 12 November 2017

Rezeki Allah Itu Luas




Dikurniakan tubuh badan yang sihat oleh Allah Taala adalah satu nikmat kepada manusia. Dengan nikmat tubuh badan yang sihat ini, kita mampu bekerja mencari rezeki, beriadah bersama keluarga, melakukan pelbagai aktiviti kegemaran dan macam-macam lagi.

Berusaha dengan tulang empat kerat untuk mencari rezeki yang halal dan diredhai Allah memang menjadi kewajipan kita sebagai seorang muslim yang bertakwa. Allah SWT menyeru kita agar bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki sebaik sahaja selesai menunaikan kewajipan dan tuntutan kepadaNya.

Firman Allah SWT: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10) .

Rezeki Allah itu luas…

Rezeki yang sedikit tetapi diberkati Allah adalah lebih baik dan tinggi darjatnya berbanding rezeki yang banyak tetapi tidak diberkati. Tidak menjadi soal sama ada banyak atau sedikit rezeki itu. Apa yang lebih penting adalah rezeki yang cukup. Biar sedikit asal cukup daripada banyak tapi sering tidak mencukupi.  Sesungguhnya rezeki Allah itu cukup luas. Berusahalah dengan jalan sabar, tekun, bertanggungjawab dan bertawakkal kepada Allah. Kadang-kadang kita hanya pandai merungut dan meminta-minta, sedangkan kita belum cukup berusaha. Berusaha dan berdoalah, pasti Allah akan membantu kita. Namun seringkali kita berdoa kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi kehidupan seharian dirasakan tiada perubahan dan makin terhimpit. Berbaik sangkalah dengan Allah, kerana Allah pasti akan memakbulkan doa kita. Mungkin hanya masa yang menentukan, sama ada lambat atau cepat. Ada kala Allah tidak memberi seperti apa yang kita minta kerana Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik kepada kita.
Jika tiada rezeki pada hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada keesokkan hari. Maka kita lebih bahagia dan gembira kerana memperolehi rezeki yang tidak dijangka.

Rezeki Allah itu luas…

Bersabar, bersyukur, berusaha, berdoa dan bertawakal. Hanya Dia Allah yang maha adil lagi maha memberi.

Sumber : http://detikislam.blogspot.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan