Isnin, 16 Oktober 2017

Volleyball Open Tournament Anjuran Biro Sukan & Rekreasi KPZ: KPZ A Juara Keseluruhan

Kejohanan bola tampar terbuka UKM 2017 yang dianjurkan oleh Biro Sukan Za’ba telah berlansung dengan jayanya pada Ahad yang lalu, 8 Oktober 2017 di Gelanggang Bola Tampar, Kolej Pendeta Za’ba. Umum mengetahui bola tampar merupakan satu sukan aktif yang memerlukan pemain menyentuh bola di atas jaring disebabkan oleh banyak serangan dari pihak lawan. Kebolehan melompat sangat ditekankan dalam permainan ini.
  
Bola tampar juga merupakan antara salah satu acara sukan Olimpik di mana dua pasukan telah dipisahkan oleh satu jaring tinggi menggunakan tangan untuk memukul atau menampar sebiji bola melangkaui jaring kepada pihak lawan. Setiap pasukan terdiri dari enam pemain dibenarkan memukul bola tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut. Mata dikira apabila bola jatuh ke dalam gelanggang lawan, ketika lawan melakukan sebarang kesalahan atau lawan gagal mengembalikan bola dengan betul. 

Acara kejohanan bola tampar terbuka kali ini bermula sekitar 7.00 pagi dan berakhir pada 6.00 petang. Orang ramai mula memenuhi gelanggang bola tampar pada set pertama dan menunggu hingga ke akhir perlawanan bagi memberikan sokongan moral kepada pemain. Rata rata yang hadir merupakan pelajar UKM sendiri khususnya penghuni Kolej Pendeta Za’ba. Acara ini melibatkan 7 kumpulan dan tiga daripadanya merupakan wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Kolej Pendeta Zaba(KPZ A dan KPZ B) serta Kolej Tun Hussein Onn(KTHO). Selebihnya merupakan wakil dari Universiti luar seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), German-Malaysian Institute (GMI), dan Malaysia France Institute (MFI UniKL). 

Setiap kumpulan yang layak ke pusingan seterusnya ditentukan secara kalah mati . Setiap set perlawanan juga ditentukan dengan kumpulan yang berjaya perlu mengumpul agregat atau mata sebanyak 31 mata. 3 mata penentu akan digunakan jika kedua dua kumpulan mendapat mata seri iaitu (31-31). KPZ A menjuarai kejohanan bola tampar terbuka mendahului USIM selaku pemenang tempat kedua dan KPZ B sebagai pemenang tempat ketiga. Ketiga tiga kumpulan pemenang telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan