Ahad, 15 Oktober 2017

Kejadian Curi di UKM, Salah Mahasiswa?


Baru-baru ini, warga Kolej Pendeta Za’ba dikejutkan dengan kes kecurian yang kian meruncing. Penghuni kolej ini sentiasa diingatkan agar tidak memandang enteng akan isu ini. Kes kecurian ini dikatakan berlaku lingkungan jam 5 pagi, di mana waktu ini majoriti pelajar akan nyenyak tidur sebelum bangun untuk menunaikan solat Subuh bagi yang beragama Islam.

Hingga saat ini, si pelaku masih belum didapati dan mungkin si dia berlegar-legar di kawasan sekitar untuk mencari mangsa seterusnya. Aduan mendapati si pelaku seorang lelaki yang memakai ‘earphone’ dan baju ber‘hoodie’. Identiti ini sukar untuk dikenal pasti dalam masa yang singkat kerana suspek mungkin adalah orang asing.

Bagi menangani kes kecurian daripada terus berleluasa, beberapa inisiatif perlu diamalkan oleh setiap pelajar. Langkah berjaga-berjaga yang diambil ialah pelajar diingatkan untuk mengunci pintu sebelum tidur atau sebelum keluar dari bilik walaupun seketika. Selain itu, para pelajar juga hendaklah berteman jika ingin ke tandas pada waktu lewat malam ataupun awal pagi agar sebarang kejadian yang tidak diingini tidak berlaku. Inisiatif terakhir pula ialah pelajar seharusnya segera melaporkan sebarang aktiviti atau individu yang mencurigakan kepada felo maupun pihak pengurusan.

Akhir kata, kejadian kecurian mungkin akan berlaku lagi pada masa akan datang. Untuk mengelakkan lebih ramai mangsa yang terkena dan pisang takkan berbuah dua kali, semua penghuni Kolej Pendeta Za’ba diminta untuk berhati-hati dan menyimpan segala barang berharga dengan sebaik mungkin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan