Sabtu, 4 November 2017

Fitnah & Cara Menghadapinya




Khalifah Umar bin Al Khattab pernah memberinya jawatan amir di Bahrain. Namun kerana rakyat Bahrain tidak menyukai Mughirah,Umar memecat beliau dari jawatan ini lalu menyuruhnya kembali ke Madinah.
Meskipun keinginan mereka dituruti, namun rakyat bimbang Umar akan berubah fikiran pada masa hadapan.Mereka takut Mughirah akan dipanggil semula untuk bertugaskembali di Bahrain.Justeru rakyat yang tidak berbudi ini membuat suatu rancangan jahat.Mereka berniat menfitnah Mughirah agar imejnya rosak di mata Khalifah Umar.
Mereka mengumpulkan wang 100 ribu dirham lalu diserahkan kepada seorang lelaki.Lelaki tersebut pergi ke Madinah untuk berjuma sendiri dengan Khalifah Umar. Dihadapan Umar, lelaki dari Bahrain itu berkata “Wahai amirulmukminin, sesungguhnya Mughirah telah berbuat khianat.Ia mencuri wang Negara sebanyak 100 ribu dirham lalu memberikannya kepadaku”. Ia menunjukkan wang yang dibawanya sambil berkata “Ini buktinya”.
Sebagai pemimpin yang adil,Umar segera memanggil Mughirah. Setelah menceritakan tuduhan tersebut,Umar bertanya kepadanya “Apa pembelaanmu?”.Mughirah menjawab:" Wahai amirulmukminin,orang ini telah berdusta.Aku tidak menitipkan wang 100 ribu dirham kepadanya,tetapi 200 ribu dirham” Umar bertanya lagi: “Mengapa engkau melakukan perbuatan khianat?”.Mughirah menjawb “Aku terdesak kerana hajat keluargaku, wahai amirulmukminin”.

Orang yang membawa cerita dusta itu ketakutan.Manakan tidak,ia pasti dituduh mencuri wang 100 ribu dirham.Jika tidak dapat membawa wang tersebut, ia pasti akan dihukum.Tentu sahaja ia tidak memiliki wang sebanyak itu.Penipu itu terus berkata “Tidak demi Allah wahai amirulmukminin.Ia tidak menitipkan sedikitpun wang kepadaku.Sebenarnya aku hanya mereka-reka cerita palsu.Kami rakyat Bahrain tidak menyukai Mughirah, kami bimbang tuan akan mengembalikannya menjadi amir di negeri kami”.Umar bertanya kepada Mughirah “Apa yang membuatmu membuat pengakuan palsu seperti tadi?
Mughirah menjawab:"Orang jahat ini telah berdust untuk menjatuhkanku.Maka aku ingin menghinakannya” Kisah ini terdapat dalam beberapa kitab sejarah antaranya SiyarA’lam al-Nubala karya al-Hafz Abu Abdillah al-Zahabi.

MEMBELA DIRI.

Fitnah merupakan salah satu resam kehidupan.Setiap orang yang hidup pasti akan mengalami ujian berupa fitnah ataupun tuduhan palsu.Seorang Muslim dihiasi dengan sifat sabar,namun bukan bermakna ia mesti berdiam diri apabila difitnah.Ia wajib membela dirinya dan menjelaskan hakikat yang berlaku.

Kita ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran.Apabila isteri majikan nabi menuduh baginda menggodanya, Nabi Yusuf segera menafikan tuduhan tersebut.Dengan tegas beliau menceritakan perkara yang sebenar:"Dialah yang menggodaku!" (Surah Yusuf 12:26) Demikian juga yang mesti kita lakukan apabila berdepan dengan fitnah. Jelaskan dan ceritakan peristiwa yang sebenar.Berdiam diri bukan pilihan yang tepat apabila difitnah.


SALAH FAHAM

Seorang mukmin tidak boleh membiarkan dirinya menjadi mangsa fitnah dan kekeliruan.Malah ia mesti menutup segala kemungkinan yang boleh berlaku.Jelaskan duduk perkara yang sebenar sebelum timbul salah faham.

Suatu Malam, Safiyah mendatangi Rasulullah yang beriktikaf di masjid.Setelah berbincang beberapa saat,isteri  Nabi ini bangkit untuk beredar.Baginda turut berjalan untuk mengiringi beliau keluar.
Kebetulan dua orang lelaki berjalan dikawasan yang sama. Melihat Rasulullah berjalan bersama seorang perempuan, mereka mempercepatkan langkah untuk menjauhi Rasulullah.Rasulullah segera memanggil mereka kerana ingin menutup kemungkinan berlaku salah faham di hati mereka.
Baginda bersabda: “Ini isteriku Safiyyah binti Huyai.”

“Sesungguhnya syaitan mengalir di tubuh manusia seperti aliran darah.Aku bimbang ia akan membisikkan perkara buruk kepadamu” [Riwayat al-Bukhari]

BERSABAR

Walau bagaimanapun, apabila situasi sudah tidak dapat dibendung lagi, dan penjelasan kita tidak diterima, maka bersabar sangat dituntut. Berserahlah kepada Allah dan meminta perlindungan daripada kejahatan manusia.Anggaplah fitnah ini satu peluang untuk memperbanyakkan pahala tanpa bersusah payah. Rasulullah bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa kesedihan,kekalutan dan kesakitan,walaupun sepotong duri yang menusuk kakinya, melainkan Allah akan menggugurkan sebahagian dosa-dosanya”[Riwayat al-Bukhari]

Semoga Allah selalu menjaga kita daripada fitnah dan tuduhan palsu.Amin.

Sumber :Majalah Gen-Q (Vol-03)(PP 17328/05/2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan