Isnin, 30 Oktober 2017

5 Perkara Yang Akan Membuat Anda Berfikir Semula Untuk Melanjutkan Pengajian Ke Peringkat Siswazah



Tahniah diucapkan kepada mahasiswa yang telah bergraduasi pada istiadat konvokesyen baru-baru ini. Istiadat konvokesyen merupakan pintu masuk kepada ribuan mahasiswa yang telah bergraduasi ke fasa baru kehidupan mereka dengan berbekalkan ilmu serta nilai yang diperoleh sepanjang pengajian di unversiti. Ramai yang memilih untuk menjadi pemain dalam industri pekerjaan, dan tidak kurang juga kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat siswazah. Jadi entri kali ini akan menfokuskan kepada 5 perkara yang perlu anda fikirkan jika anda mahu melanjutkan pelajaran anda ke peringkat siswazah.

1. Cita-cita
Kepada pelajar sarjana muda yang baru sahaja bergraduasi, sebelum anda membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Anda terlebih dahulu perlu jelas dengan cita-cita anda. Jika anda memang berminat untuk menjadi pensyarah atau penyelidik. Sambung belajar adalah salah satu cara yang yang boleh membawa anda kepada cita-cita tersebut. Jika anda masih lagi tidak mempunyai cita-cita yang jelas, sila rujuk kenalan yang berpengalaman dan pilih hala tuju hidup yang anda mahu. Perkara ini penting kerana tidak semua perjalanan kerjaya memerlukan anda untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ada kalanya pengalaman bekerja lebih dititik beratkan.

2. Tanggungjawab 
Jika anda anak sulong yang menjadi harapan untuk membantu keluarga, atau anda lahir daripada keluarga yang berpendapatan rendah, dan sebagainya. Anda perlu fikirkan tekanan tanggungjawab yang anda pikul sebelum memilih perjalanan kerjaya anda. Apabila anda menjadi pelajar siswazah, anda bukan sahaja perlu memberi fokus yang penuh kepada penyelidikan, dalam masa yang sama anda juga tidak memperoleh pendapatan tetap melainkan anda belajar sambil bekerja. Lebih malang lagi, anda perlu keluarkan banyak kos untuk memastikan proses pengajian anda berjalan lancar. Faktor-faktor seperti ini penting untuk dilihat sebelum membuat keputusan untuk menyambung pelajaran kerana ianya menjadikan punca utama ramai pelajar siswazah berhenti pengajian sekerat jalan.

3. Perancangan hidup
Sekurang-kurangnya 2 tahun diperlukan bagi pelajar sarjana dan 3 tahun bagi pelajar Phd untuk menghabiskan pengajian mereka. Jika anda ingin meneruskan pengajian anda terus menerus sehingga ke peringkat Phd, anda sebenarnya akan menggunakan 5 ke 6 tahun usia anda hanya sebagai pelajar. Oleh itu, perancangan hidup anda perlu diambil kira sebelum anda memutuskan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Persoalan seperti bilakah anda merancang untuk membina keluarga, bilakah sepatutnya anda perlu mendapat kerjaya tetap dan sebagainya perlu dijawab terlebih dahulu kerana tanpa perancangan yang jelas, faktor luaran seperti ini akan menjadi punca anda berputus asa dalam penyelidikan anda. Lihat perkara no. (2). 

4. Kos sara hidup/kewangan
Tahniah, jika anda mendapat pembiyaan bagi menyambung pelajaran atau anda dilahirkan dalam keluarga yang tidak mempunyai masalah kewangan, kerana anda terlepas daripada dugaan ini. Kos sara hidup bagi pelajar siswazah tidak sama dengan pelajar pra-siswazah. Kadar yuran pengajian, yuran penginapan juga lebih tinggi. Itu tidak termasuk dengan kos-kos lain seperti kos menghadiri persidangan, kos alat tulis, kos menjalankan kajian dan sebagainya. Segala kos ini perlu ditanggung sendiri oleh pelajar siswazah jika mereka tidak mendapat sebarang pembiayaan. Oleh itu, persediaan dari segi kewangan juga penting agar kehidupan anda berjalan lancar sepanjang menjadi pelajar siswazah. 

5. Motivasi
Kehidupan sebagai pelajar siswazah tidak semudah yang disangkakan. Realitinya, tidak semua pelajar siswazah berjaya mengharungi perjalanan mereka sampai ke  akhir. Hanya yang betul-betul cekal sahaja akan selamat sampai ke penghujung. Motivasi yang kuat perlu ada pada diri. Anda perlu wujudkan motivasi yang kuat sebelum anda membuat keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat siswazah. Sebagai contoh, anda sememangnya bercita-cita untuk menjadi pensyarah atau penyelidik yang dapat memberi sumbangan pada masyarakat atau anda merupakan pencinta ilmu pengetahuan dan sebagainya. Motivasi diri seperti ini dilihat kurang diberi perhatian oleh pelajar tetapi amat penting agar segala cabaran dan dugaan dapat ditepis dan membuatkan anda terus fokus dalam penyelidikan. 

Lima perkara di atas bukan bertujuan untuk menakutkan. Tetapi berdasarkan pengalaman-pengalaman pelajar siswazah terdahulu dan dilihat perlu diambil kira sebelum anda memutuskan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat siswazah.
Semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada anda semua bagi mempersiapkan diri. insyaAllah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan