Selasa, 7 November 2017

Amalkan Tips Ni Kalau Nak Jadi Pelajar Cemerlang!


Sebagai seorang pelajar, sikap yang positif amat penting untuk mencapai kejayaan. Sekiranya kita mahu bercakap mengenai kepandaian seseorang itu, bagi saya aspek tersebut tak semestinya boleh memberi kejayaan seratus peratus kepada individu itu. Apa yang ingin saya sampaikan sebenarnya adalah jika kita mempunyai kepintaran otak dan ditambah pula dengan sikap yang baik, kita pasti menjadi individu yang terkemuka dan tokoh dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.
Memang sukar sebenarnya untuk membaca sikap seseorang itu tapi sikap positif seorang pelajar dapat melalui penanda aras yang terbit dari diri mereka sendiri. Penanda tersebut ialah tips yang perlu dilakukan setiap orang.

1. Pastikan hadir ke kuliah untuk belajar

Inilah amalan paling utama sekiranya kita ingin menjadi seseorang yang berjaya dalam peperiksaan dan hidup kita pada masa hadapan. Mengerahkan diri untuk hadir ke kuliah adalah suatu kejayaan besar sebab usaha itu memerlukan kesungguhan dan minat yang mendalam dalam diri. Banyak halangan yang menyebabkan malas untuk hadir ke kuliah seperti keinginan untuk berehat sepanjang masa, menonton drama dan ralit menggunakan aplikasi media sosial. Oleh itu, kita perlu berkorban untuk disiplinkan diri, kuatkan semangat dan lawan segala sikap kemalasan yang ada.

Paksa diri, jangan manja diri.

2. Sentiasa gembira, seronok dan segar apabila berada di tempat belajar

Kajian menunjukkan bahawa pencapaian pelajar yang belajar dalam keadaan yang bersih dan segar jauh lebih tinggi berbanding mereka yang belajar dalam keadaan yang tak seronok dan meletihkan.

Kita berasa seronok kerana dapat bertemu dengan rakan sebaya dan seperjuangan di kolej. Berkongsi dan bersembang bersama rakan mengenai berita gembira mahupun duka. Pasti perkongsian ini dapat menjadikan hidup kita ceria!

Mungkin bertambah gembira lagi, jika pensyarah dapat mengajar dengan kaedah pengajaran yang menarik dan mencabar minda. Satu perkara lagi, sila jauhkan diri kita daripada mana-mana konflik tidak kira sama ada dengan rakan atau pensyarah.

3. Memberi tumpuan sepenuhnya dalam kuliah


Perkara pertama yang perlu ditentukan untuk kita lebih fokus semasa kuliah ialah memilih tempat duduk paling strategik. Tempat duduk yang paling strategik adalah bahagian tengah dan hadapan. Mungkin ada segelintir mereka yang suka memilih tempat duduk yang paling sudut di belakang dewan kuliah dapat fokus semasa kuliah, tapi kebanyakannya mereka ini paling mudah hilang tumpuan.

Sekiranya boleh, bersedialah awal mungkin sebelum pensyarah tiba. Duduk dengan betul dan tunjukkan minat terhadap kuliah yang disampaikan oleh pensyarah.

4. Tanya pensyarah jika tidak faham

Jika kita mempunyai sesuatu yang tidak difahami, beranikan diri dan cari masa yang sesuai untuk bertanya pensyarah. Kita mungkin boleh tertekan dan tahap minat untuk belajar berkurang apabila dipendam masalah tersebut.

Apabila pensyarah menyoal dan kita terasa seperti tahu jawapannya, cuba angkat tangan dan menjawabnya.
Semakin banyak kita mencuba, semakin banyak kita silap, semakin banyaklah yang dapat kita belajar.

Sebenarnya banyak lagi tips lain yang boleh diamalkan untuk berjaya. Apa-apa pun, sesungguhnya kejayaan itu milik Allah. Dialah yang menganugerahkan kejayaan kepada kita. Kita hanya mampu berusaha keras namun Dialah yang akan menentukan sebesar mana kejayaan yang bakal kita perolehi.

“Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau redha (berpuas hati).” Ad-Dhuha:5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan